Monday 26 November 2012

Pendaftaran Akaun Bank CIMB Dan CIMB Cliks




Untuk memulakan perbankan internet dalam sesebuah bank, seseorang itu harus memiliki sekurang-kurangnya satu akaun di bank tersebut. Oleh itu, saya akan menyampaikan beberapa prosedur untuk membuka akaun bank sebelum meneruskan ke perbankan internet. Saya memilih prosedur membuka akaun yang terdapat di salah satu cawangan bank CIMB.

Tatacara Membuka Akaun Bank

Bahagian 1 - Kaunter Pertanyaan

1. Pemohon menyatakan berkenaan pembukaan akaun di kaunter pertanyaan.
2. Pemohon akan diminta untuk memberikan kad pengenalan dan membuat pengesahan cap jari.
3. Selepas pengesahan kad pengenalan, pemohon akan mendapat maklumat mykad pemohon dan nombor giliran untuk ke kaunter perkhidmatan.
Bahagian 2 - Kaunter Perkhidmatan

1. Setelah tiba giliran pemohon, pemohon akan menuju ke kaunter perkhidmatan untuk membuat pengesahan maklumat pemohon.
2. Terdapat beberapa borang yang perlu ditandatangan pemohon antaranya ialah borang pengakuan, borang terma dan syarat, dan lain-lain.
3. Pemohon akan menunggu pengesahan daripada pihak atasan sebelum diberikan nombor akaun bank.
4. Setelah menerima nombor akaun, pemohon perlu menuju ke mesin deposit tunai untuk mendepositkan RM 250 untuk dijadikan sebagai simpanan di dalam bank tersebut.
Bahagian 3 -  Meja Penerimaan Kad ATM

1. Kemudian nama pemohon akan dipanggil untuk penerimaan kad ATM.
2. Di meja tersebut, pemohon akan menandatangani kawasan sebelah belakang kad ATM tersebut.
3. selesai menandatangan, pemohon akan menerima satu siri nombor keselamatan.

4. Pemohon akan menuju ke mesin ATM untuk menukarkan nombor keselamatan tersebut dengan nombor pin yang baru.




                                 




Tatacara Membuat Perbankan Internet


Bahagian 1 - Membuat e-pin

1. Pemohon akan memerlukan e-pin sebelum dapat mendaftar untuk perbankan internet. Oleh itu, pemohon perlu ke mesin ATM untuk membuat e-pin.

2. Di mesin ATM, pemohon perlu mengikut laluan berikut pada mesin ATM:-
Lain-lain > CIMB Clicks > CIMB Clicks e-Pin
3. Kemudian, pemohon akan diminta untuk memasukkan nombor e-pin.
    [PERHATIAN: Nombor e-pin tidak boleh sama dengan nombor pin ATM]
4. Setelah memasukkan nombor e-pin dan mengesahkannya, pemohon perlu memasukkan nombor telefon pemohon untuk penerimaan alamat sesawang dan memuat turun Perbankan Mudah Alih CIMB Clicks.
Bahagian 2 -Membuat Akaun Perbankan Internet

1. Pemohon perlu ke Daftar Perbankan Internet CIMB Clicks untuk membuat akaun Perbankan Internet.
2. Pemohon akan mengisi maklumat di ruang yang disediakan. Antara maklumat yang diperlukan ialah Nombor kad ATM pemohon, nombor e-pin CIMB Clicks, nama ibu, dan alamat e-mel pemohon.
3. Pemohon juga perlu membuat ID, katalaluan dan 'SecureWord' pemohon, dan juga mengisikan ruang 'Enter your Introducer's Details'.
4. Setelah membaca menerima Terma dan Syarat perbankan internet, pemohon hanya perlu klik pada butang 'Submit' untuk menghantar maklumat pemohon atau klik pada butang 'clear' untuk mengosongkan kawasan ruang maklumat yang telah diisi.


Dengan ini tamatlah prosedur membuka akaun perbankan internet di CIMB. Pemohon boleh mengedit dan memperbaharui maklumat pemohon di laman sesawang CIMB Clicks. Terdapat pelbagai servis sediakan oleh CIMB yang boleh digunakan oleh pengguna-pengguna CIMB Clicks seperti pemindahan wang simpanan, pembayaran bil, dan juga kad tambah nilai prabayar.